Isnin, 20 Ogos 2018

TANGGAPAN SALAH TERHADAP URUTAN SUKAN.

Pada dasarnya urutan sukan ini bertujuan untuk memberikan perkhidmatan kepada atlet dalam mengekalkan tahap prestasi sukan yang diceburi. Selain itu, ia juga berfungsi sebagai kaedah dalam pencegahan kepada kecederaan.
Urutan sukan telah dikombinasikan secara saintifik berdasarkan kepada teknik-teknik urutan asas yang lain bagi memastikan objektif asal yang dinyatakan dapat dicapai. Jika kita perhatikan, tiada teknik yang luar biasa bagi urutan sukan ni. Ia adalah sama seperti urutan-urutan lain. Apa yang membezakan urutan sukan dan urutan lain hanyalah kombinasi penggunaan teknik tersebut.

URUTAN SUKAN BUKAN HANYA UNTUK ATLET
Urutan sukan bukanlah satu perkhidmatan yang eksklusif yang hanya boleh diberikan kepada atlet sahaja. Ini kerana fungsi utama urutan sukan adalah untuk memberikan kelegaan, mengurangkan kesakitan, mempercepatkan proses pemulihan serta membantu mengembalikan fungsi tubuh pada tahap optimum. Dalam kalangan masyarakat, bukan atlet sahaja yang perlu menjaga prestasi malah masyarakat lain juga terlibat sama. Anggapan bahawa urutan sukan hanya untuk atlet ialah satu tanggapan yang tidak tepat.

URUTAN SUKAN HANYA DIPERLUKAN APABILA MENGALAMI KECEDERAAN
Tanggapan seperti ini sudah menjadi kebiasaan kepada kami sebagai juru terapi urutan sukan. Kebanyakan pelanggan hanya akan merujuk kepada kami hanya apabila sudah mengalami kecederaan. Dan keadaan yang lebih buruk apabila mereka datang kepada kami pada ketika kecederaan sudah terlalu lama dialami. Urutan sukan bukanlah ubat atau kaedah yang boleh memulihkan kecederaan. Hakikat sebenar, urutan sukan ialah sebagai salah satu medium untuk mempercepatkan proses pemulihan. Jadi, kepada sesiapa yang datang dan dapatkan urutan sukan kerana kecederaan janganlah salahkan juruterapi jika kecederaan tidak pulih sebaik sahaja diurut. Kecederaan perlukan masa untuk dipulihkan. Cuma, proses pemulihan mampu dipendekkan melalui urutan sukan.

URUTAN SUKAN TERLALU LEMBUT
Jika dilihat pada teknik yang dipraktikkan memang kelihatan seperti lembut dan tidak memberi rasa yang seperti diharapkan oleh sesetengah individu. Tetapi hakikatnya, jika ditanya pada siapa-siapa yang pernah mengalami dan merasai urutan sukan pasti tidak bersetuju dengan pendapat tersebut. Teknik urutan sukan sebenarnya diolah bagi memberikan kesan yang maksimum kepada penggunaan otot rangka yang seperti kita sedia maklum, otot rangka berperanan besar dalam memberikan pergerakan kepada tubuh badan manusia. Apabila tekanan dan urutan diberikan pada lokasi-lokasi yang tepat dan betul akan memberikan kelegaan, keselesaan, sedikit kesakitan dan juga mampu untuk memberikan penyembuhan kepada sesetengah keadaan kecederaan. Fokus utama dalam urutan sukan ialah memberikan tekanan tetapi dalam masa yang sama tidak menyebabkan keadaan tubuh semakin sakit, malah ia mampu memberikan kesan yang positif sebaik sahaja selesai sesi urutan.

URUTAN SUKAN SAMA SAHAJA DENGAN URUTAN-URUTAN LAIN
Seperti mana yang kerap kami tekankan dalam kursus-kursus yang kami anjurkan, tiada keistimewaan yang luar biasa dalam teknik urutan sukan. Malah, teknik dan strokes juga sama seperti urutan-urutan moden dan tradisional yang lain. Akan tetapi, apa yang membezakan urutan sukan dengan urutan-urutan yang lain ialah bagaimana teknik-teknik tersebut di kombinasi dan disusun serta diolah secara saintifik bagi mencapai matlamat individu yang mendapatkan urutan tersebut. Ia berbeza bergantung pada tahap kecergasan fizikal individu, tahap keupayaan(keanjalan) otot, aktiviti/rutin harian dan beberapa perkara lain yang perlu diambil kira.

Jadi, apa kata sebelum anda memberikan tanggapan yang salah terhadap urutan sukan, anda rasakan dahulu kehebatan urutan sukan yang pastinya mampu memberikan kesan yang sama atau lebih baik daripada urutan-urutan yang pernah anda rasa.

Salah sihat,
Admin Terapi Sukan.










Tiada ulasan: