Pada
dasarnya urutan sukan ini bertujuan untuk memberikan perkhidmatan kepada atlet
dalam mengekalkan tahap prestasi sukan yang diceburi. Selain itu, ia juga
berfungsi sebagai kaedah dalam pencegahan kepada kecederaan.
Urutan sukan telah dikombinasikan secara
saintifik berdasarkan kepada teknik-teknik urutan asas yang lain bagi
memastikan objektif asal yang dinyatakan dapat dicapai. Jika kita perhatikan,
tiada teknik yang luar biasa bagi urutan sukan ni. Ia adalah sama seperti
urutan-urutan lain. Apa yang membezakan urutan sukan dan urutan lain hanyalah
kombinasi penggunaan teknik tersebut.
URUTAN
SUKAN BUKAN HANYA UNTUK ATLET
Urutan sukan bukanlah satu perkhidmatan
yang eksklusif yang hanya boleh diberikan kepada atlet sahaja. Ini kerana
fungsi utama urutan sukan adalah untuk memberikan kelegaan, mengurangkan
kesakitan, mempercepatkan proses pemulihan serta membantu mengembalikan fungsi
tubuh pada tahap optimum. Dalam kalangan masyarakat, bukan atlet sahaja yang
perlu menjaga prestasi malah masyarakat lain juga terlibat sama. Anggapan
bahawa urutan sukan hanya untuk atlet ialah satu tanggapan yang tidak tepat.
URUTAN
SUKAN HANYA DIPERLUKAN APABILA MENGALAMI KECEDERAAN
Tanggapan seperti ini sudah menjadi
kebiasaan kepada kami sebagai juru terapi urutan sukan. Kebanyakan pelanggan
hanya akan merujuk kepada kami hanya apabila sudah mengalami kecederaan. Dan
keadaan yang lebih buruk apabila mereka datang kepada kami pada ketika kecederaan
sudah terlalu lama dialami. Urutan sukan bukanlah ubat atau kaedah yang boleh
memulihkan kecederaan. Hakikat sebenar, urutan sukan ialah sebagai salah satu
medium untuk mempercepatkan proses pemulihan. Jadi, kepada sesiapa yang datang
dan dapatkan urutan sukan kerana kecederaan janganlah salahkan juruterapi jika
kecederaan tidak pulih sebaik sahaja diurut. Kecederaan perlukan masa untuk
dipulihkan. Cuma, proses pemulihan mampu dipendekkan melalui urutan sukan.
URUTAN
SUKAN TERLALU LEMBUT
Jika dilihat pada teknik yang dipraktikkan
memang kelihatan seperti lembut dan tidak memberi rasa yang seperti diharapkan
oleh sesetengah individu. Tetapi hakikatnya, jika ditanya pada siapa-siapa yang
pernah mengalami dan merasai urutan sukan pasti tidak bersetuju dengan pendapat
tersebut. Teknik urutan sukan sebenarnya diolah bagi memberikan kesan yang
maksimum kepada penggunaan otot rangka yang seperti kita sedia maklum, otot
rangka berperanan besar dalam memberikan pergerakan kepada tubuh badan manusia.
Apabila tekanan dan urutan diberikan pada lokasi-lokasi yang tepat dan betul
akan memberikan kelegaan, keselesaan, sedikit kesakitan dan juga mampu untuk
memberikan penyembuhan kepada sesetengah keadaan kecederaan. Fokus utama dalam
urutan sukan ialah memberikan tekanan tetapi dalam masa yang sama tidak
menyebabkan keadaan tubuh semakin sakit, malah ia mampu memberikan kesan yang
positif sebaik sahaja selesai sesi urutan.
URUTAN
SUKAN SAMA SAHAJA DENGAN URUTAN-URUTAN LAIN
Seperti mana yang kerap kami tekankan dalam
kursus-kursus yang kami anjurkan, tiada keistimewaan yang luar biasa dalam
teknik urutan sukan. Malah, teknik dan strokes
juga sama seperti urutan-urutan moden dan tradisional yang lain. Akan tetapi,
apa yang membezakan urutan sukan dengan urutan-urutan yang lain ialah bagaimana
teknik-teknik tersebut di kombinasi dan disusun serta diolah secara saintifik
bagi mencapai matlamat individu yang mendapatkan urutan tersebut. Ia berbeza
bergantung pada tahap kecergasan fizikal individu, tahap keupayaan(keanjalan)
otot, aktiviti/rutin harian dan beberapa perkara lain yang perlu diambil kira.
Jadi, apa kata sebelum anda memberikan
tanggapan yang salah terhadap urutan sukan, anda rasakan dahulu kehebatan
urutan sukan yang pastinya mampu memberikan kesan yang sama atau lebih baik daripada
urutan-urutan yang pernah anda rasa.
Salah sihat,
Admin Terapi Sukan.