Apakah beza urutan sukan
dengan urutan tradisional?
Kami di Terapi Sukan selalu ditanyakan persoalan seperti ini. Apakah beza
urutan sukan dengan urutan tradisional dan urutan-urutan lain?
Maksud urutan sukan.
Pada dasarnya urutan sukan ini bertujuan untuk memberikan perkhidmatan
kepada atlet dalam mengekalkan tahap prestasi sukan yang diceburi. Selain itu,
ia juga berfungsi sebagai kaedah dalam pencegahan kepada kecederaan.
Urutan sukan telah dikombinasikan secara saintifik berdasarkan kepada
teknik-teknik urutan asas yang lain bagi memastikan objektif asal yang
dinyatakan dapat dicapai. Jika kita perhatikan, tiada teknik yang luar biasa
bagi urutan sukan ni. Ia adalah sama seperti urutan-urutan lain. Apa yang
membezakan urutan sukan dan urutan lain hanyalah kombinasi penggunaan teknik
tersebut.
Di samping itu, pemahaman kepada konsep pergerakan manusia (anatomi, fisiologi
dan kinesiologi) juga merupakan satu perkara asas yang perlu dikuasai oleh
pengamal urutan sukan agar mampu memberikan perkhidmatan urutan yang berkesan. Ia
seperti mekanik membaiki motor, jika seorang mekanik tidak memahami bagaimana
enjin motor berfungsi, bagaimana mekanik tersebut mahu membaiki atau servis
motor tersebut?
Mengapa permintaan urutan
sukan makin meningkat?
Teknik urutan sukan lebih tertumpu kepada merangsang bagi meningkatkan
keupayaan otot yang diurut. Fokus utama adalah otot. Jadi, penting bagi seorang
juru urutan sukan memahami konsep penggunaan otot (pelekatan, pergerakan dan
corak gentian). Konsep-konsep kecederaan dan gejala kepada kontraindikasi
urutan juga dititikberatkan dalam urutan sukan supaya ia tidak meninggalkan
kesan negatif setelah diurut seperti DOMS dan sebagainya. Sepertimana yang
telah dinyatakan sebelum ini, urutan sukan adalah kombinasi yang direka khas
bagi membantu atlet dalam mengekalkan prestasi sukan dan ianya terbukti
berkesan. Jadi, jika ia berkesan kepada atlet sudah semestinya ia akan berkesan
kepada orang biasa.
Mampukan urutan sukan
memulihkan kecederaan?
Ramai yang beranggapan bahawa urutan sukan hanya digunakan apabila
mengalami kecederaan semasa bersukan sahaja. Anggapan itu adalah kurang tepat. Kebanyakan
kecederaan tidak boleh dipulihkan melalui urutan. Urutan hanya bertindak
sebagai kaedah sokongan kepada proses pemulihan.
Perbezaan urutan sukan dan
urutan tradisional
Jika dilihat kepada konsep urutan sukan, ia lebih terjurus kepada
rangsangan kepada otot-otot rangka manusia. Manipulasi yang dikenakan adalah
bertujuan bagi mengurangkan rasa sakit, mempercepatkan proses pemulihan dan
mengurangkan kecenderungan kepada risiko kecederaan. Fokus utama adalah
manipulasi otot (soft tissue manipulation). Dalam urutan sukan, manipulasi otot
adalah berdasarkan julat pergerakan kepada sendi termasuklah rangka dan otot (musculoskeletal
system). Berbanding dengan urutan tradisional, fokus utama adalah saraf (yang
disebut urat) dan angin dalam badan. Urutan tradisional kebanyakannya adalah
ilmu turun temurun. Ada juga urutan tradisional yang diperoleh daripada
mimpi(bagi sesetengah kes) dan ada juga yang diperoleh melalui pembelajaran.