Selasa, 12 Januari 2016

Komponen kecergasan fizikal - Apa yang perlu anda tahu?

Komponen Kecergasan fizikal diklasifikasikan berdasarkan kesihatan dan lakuan motor.

a.Komponen kecergasan fizikal berdasarkan kesihatan adalah:
  1. Komposisi badan/kandungan lemak
  2. Kecergasan kardiovaskular
  3. Fleksibiliti
  4. Kekuatan otot
  5. Daya tahan otot


Setiap komponen ini berkait rapat dengan kesihatan yang baik serta mengurangkan risiko penyakit hipokinetik.

  • Komposisi badan/kandungan lemak

Komposisi badan adalah kadar relatif otot, lemak, tulang dan tisu-tisu lain yang membentuk tubuh. Individu yang cergas mempunyai peratus kandungan lemak yang rendah, berkadar dengan berat badan dan ketinggian.
  • Daya tahan kardiovaskular

Daya tahan kardiovaskular adalah keupayaan sistem kardiorespiratori untuk melakukan kerja bagi satu jangka masa yang lama dan berterusan dengan intensiti kerja yang ringan atau sederhana.

  • Fleksibiliti

Fleksibiliti membenarkan sendi atau sendisendi bergerak dengan licin dengan rintangan yang minimum. Fleksibiliti dirujuk kepada julat pergerakan sendi.

  • Kekuatan Otot

Kekuatan otot adalah keupayaan otot untuk mengatasi rintangan bagi  menghasilkan daya (kerja).

  • Daya Tahan Otot

Daya tahan otot adalah keupayaan otot untuk melakukan aktiviti fizikal yang berulang-ulang atau berterusan bagi satu jangkamasa yang lama dengan intensiti kerja yang ringan atau sederhana.


b. Komponen kecergasan fizikal berdasarkan lakuan motor.

Bagi membolehkan individu terlibat secara cekap dan berkesan dalam aktiviti sukan terutamanya sukan kompetetif, komponen-komponen kecergasan fizikal berdasarkan lakuan motor diperlukan. Komponen kecergasan fizikal berdasarkan lakuan motor adalah:

  • Kelajuan (Speed)

Kelajuan adalah keupayaan untuk melakukan pergerakan dalam masa   yang singkat. Kelajuan dirujuk kepada jarak pergerakan yang dicapai dalam satu jangka masa yang diberi.

  • Ketangkasan (Agility)

Ketangkasan adalah keupayaan untuk mengubah arah pergerakan atau kedudukan badan dengan pantas dan tepat.

  • Kuasa (Power)

Kuasa adalah keupayaan untuk memindahkan tenaga kepada daya secara eksplosif.
Kuasa dirujuk kepada gabungan kekuatan dan kelajuan pergerakan otot.

  • Imbangan (Balance)

Imbangan adalah keupayaan untuk mengekalkan kedudukan badan dengan teguh samada semasa melakukan pergerakan (dinamik) atau semasa pegun (statik).

  • Masa reaksi (Reaction Time)

Masa reaksi adalah masa yang diambil oleh seseorang untuk bertindak setelah menerima rangsangan untuk berbuat demikian.

  • Koordinasi (Coordination)

Koordinasi adalah kebolehan menyelaras dan menyeragamkan pergerakan anggota badan untuk menghasilkan sesuatu tindakan tertentu.

Tiada ulasan: